Saturday, July 25, 2009

Pencen swasta diwujud

Di petik dari Utusan On-line

KUALA LUMPUR 23 Julai – Dana pencen swasta akan diwujudkan pada pertengahan tahun depan terutamanya untuk mereka yang tidak dilindungi oleh dana pencen rasmi, agar mampu menikmati kehidupan lebih baik ketika bersara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, dana yang bakal dikenali Dana Persaraan Swasta dan carumannya dibuat secara sukarela adalah sebahagian pelan reformasi dana persaraan di bawah Model Ekonomi Baru.

‘‘Negara memerlukan satu lagi pilihan bagi dana persaraan bagi memastikan apabila bersara pekerja ini mampu mempunyai pendapatan mereka untuk jangka masa panjang (meneruskan kehidupan),’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Forum Mengenai Industri Persaraan Swasta dan Dana Persaraan anjuran Suruhanjaya Sekuriti (SC) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi SC, Tan Sri Zarinah Anwar.

Pada masa ini, golongan pekerja hanya mempunyai dua pilihan untuk membiayai kehidupan sewaktu persaraan iaitu skim pencen kerajaan dan potongan wajib bulanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Nor Mohamed berkata, sehingga akhir 2008, terdapat lebih dua juta rakyat Malaysia yang bekerja sendiri dan tidak dilindungi.

‘‘Dana persaraan tersebut disasarkan kepada mereka yang tidak mencarum di bawah KWSP atau mereka yang ingin menambah dana untuk hari tua walaupun telah mencarum di dalam KWSP,’’ jelasnya.

Menurutnya, dana persaraan ketiga itu akan dipelopori oleh SC yang akan menyiapkan laporan menyeluruh termasuk peraturan bagi mewujudkan dana berkenaan dalam tempoh enam bulan akan datang.

‘‘Selepas laporan siap, kita akan mengambil masa lagi enam bulan untuk merealisasikan kewujudan dana tersebut. Oleh itu, kita menjangka pertengahan tahun depan, ia akan dapat dilaksanakan,’’ katanya.

Nor Mohamed berkata, beberapa pengurus dana telah menunjukkan minat untuk mewujudkan dana pencen swasta.

Zarinah pula berkata, tiada sekatan dikenakan dalam memohon lesen mengurus dana persaraan swasta kerana industri pengurusan dana tempatan telah menjalani proses liberalisasi.

‘‘Setakat ini belum ada lagi syarikat yang memohon lesen dengan SC tetapi mereka menunjukkan minat. Dan kami tidak melihat hanya satu syarikat tetapi beberapa syarikat pengurusan dana,’’ katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang perkembangan penubuhan Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) , Nor Mohamed berkata, buat masa ini mereka sedang menjalani proses melibatkan undang-undang, termasuk proses penubuhannya serta pelbagai aspek lain.

‘‘Kerajaan masih belum melantik sesiapa untuk menerajui Ekuinas tetapi yakin menjelang akhir tahun ini ia akan ditubuhkan,’’ katanya.

Komentar :

ada 0 comments ke “Pencen swasta diwujud”

Pelawat

Kategori

 

© 2009 Sekretariat Pekerja Muda - Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Powered by Blogger.