Saturday, July 25, 2009

Program Pemuda UMNO di Kedah

Alor Setar, 25 Julai - Hari ini Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda iaitu Sdr Nazir Hussin merangkap Exco PPUM telah mengikuti program anjuran PPUM yang diketuai oleh YB Khairy Jamaludin di Kedah. Berikut adalah aturcara program tersebut :

11.00am - Tiba di Lapangan Terbang Alor Setar

11.30am - Perjumpaan bersama Pegawai Pemuda UMNO Kedah di Bgn Tunku A Star

01.00pm - Menghadiri Kenduri Rakyat di Pdg Terap

03.00pm - Perasmian Mesyuarat Pemuda UMNO Bhgn Padang Terap di Pejabat UMNO Bhgn

06.00pm - Majlis Penutupan KSK DUN Tokai di SMK Pendang


Read more...

Pencen swasta diwujud

Di petik dari Utusan On-line

KUALA LUMPUR 23 Julai – Dana pencen swasta akan diwujudkan pada pertengahan tahun depan terutamanya untuk mereka yang tidak dilindungi oleh dana pencen rasmi, agar mampu menikmati kehidupan lebih baik ketika bersara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, dana yang bakal dikenali Dana Persaraan Swasta dan carumannya dibuat secara sukarela adalah sebahagian pelan reformasi dana persaraan di bawah Model Ekonomi Baru.

‘‘Negara memerlukan satu lagi pilihan bagi dana persaraan bagi memastikan apabila bersara pekerja ini mampu mempunyai pendapatan mereka untuk jangka masa panjang (meneruskan kehidupan),’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Forum Mengenai Industri Persaraan Swasta dan Dana Persaraan anjuran Suruhanjaya Sekuriti (SC) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi SC, Tan Sri Zarinah Anwar.

Pada masa ini, golongan pekerja hanya mempunyai dua pilihan untuk membiayai kehidupan sewaktu persaraan iaitu skim pencen kerajaan dan potongan wajib bulanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Nor Mohamed berkata, sehingga akhir 2008, terdapat lebih dua juta rakyat Malaysia yang bekerja sendiri dan tidak dilindungi.

‘‘Dana persaraan tersebut disasarkan kepada mereka yang tidak mencarum di bawah KWSP atau mereka yang ingin menambah dana untuk hari tua walaupun telah mencarum di dalam KWSP,’’ jelasnya.

Menurutnya, dana persaraan ketiga itu akan dipelopori oleh SC yang akan menyiapkan laporan menyeluruh termasuk peraturan bagi mewujudkan dana berkenaan dalam tempoh enam bulan akan datang.

‘‘Selepas laporan siap, kita akan mengambil masa lagi enam bulan untuk merealisasikan kewujudan dana tersebut. Oleh itu, kita menjangka pertengahan tahun depan, ia akan dapat dilaksanakan,’’ katanya.

Nor Mohamed berkata, beberapa pengurus dana telah menunjukkan minat untuk mewujudkan dana pencen swasta.

Zarinah pula berkata, tiada sekatan dikenakan dalam memohon lesen mengurus dana persaraan swasta kerana industri pengurusan dana tempatan telah menjalani proses liberalisasi.

‘‘Setakat ini belum ada lagi syarikat yang memohon lesen dengan SC tetapi mereka menunjukkan minat. Dan kami tidak melihat hanya satu syarikat tetapi beberapa syarikat pengurusan dana,’’ katanya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang perkembangan penubuhan Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) , Nor Mohamed berkata, buat masa ini mereka sedang menjalani proses melibatkan undang-undang, termasuk proses penubuhannya serta pelbagai aspek lain.

‘‘Kerajaan masih belum melantik sesiapa untuk menerajui Ekuinas tetapi yakin menjelang akhir tahun ini ia akan ditubuhkan,’’ katanya.


Read more...

Wednesday, July 8, 2009

AL-FATIHAH

Assalamualaikum wbt. Dukacitanya kami ingin memaklumkan kepada semua, salah seorang Ahli Jawatankuasa Sekretariat Pekerja Muda merangkap Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu iaitu Saudara Nasir Bin Muda telah kembali ke rahmatullah pagi tadi akibat denggi. Mari kita sama-sama sedekahkah Al-Fatihah kepada arwah dan mendoakan semoga rohnya di cucuri rahmat. Arwah juga merupakan sahabat karib kepada Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda merangkap Exco Pemuda UMNO Malaysia iaitu Saudara Nazir Hussin. Jasa dan keringat beliau untuk parti amat kami hargai dan sanjung tinggi. AL-FATIHAH…


Di kesempatan ini juga, pihak sekretariat bersama Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu ingin menjemput semua yang bersempatan untuk hadir ke Majlis Tahlil di rumah arwah pada malam esok (9/7 –Khamis) selepas sembahyang Isyak. Untuk Makluman, Pengerusi Sekretariat, Sdr Nazir Hussin juga akan hadir pada Majlis Tahlil tersebut.


Untuk Maklumat anda juga, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu telah melancarkan TABUNG DERMA untuk keluarga arwah. Tabung tersebut bertujuan untuk meringan kan beban isterinya yang tidak bekerja serta anak-anak beliau seramai 5 orang yang masih kecil.


Kepada sesiapa yang berminat dan berhajat untuk menyumbang, sila hubungi :


Saudara Rosli (Ketua Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu) - 019-9848376


Read more...

Wednesday, July 1, 2009

Setahun Janji Kosong Kerajaan Pulau Pinang, Pemuda Selesaikan Nasib Pekerja Kilang Nikko

Dipetik dari Laman Web Pemuda UMNO

Oleh S.A Najmuddin

Kuala Lumpur -- Nasib 800 pekerja kilang Nikko Electronics Berhad, Perai, Pulau Pinang yang telah diberhentikan perkhidmatan dengan notis 24 jam pada 30 Jun 2008 yang lepas mendapat pembelaan hari ini setelah mereka akan ditawarkan dengan pekerjaan baru dalam tempoh terdekat.


Rintihan mereka selama setahun akhirnya menemui jalan penyelesaian setelah Sekretariat Pekerja Muda Pemuda UMNO Malaysia mengambil inisiatif membawa permasalahan mereka ke pengetahuan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan pagi tadi.


Hasilnya rombongan sekretariat tersebut yang diketuai Pengerusinya, Nazir Hussin Akhtar Hussin bersama wakil pekerja Kilang Nikko, Mat Zahir Ismail bukan sahaja ditawarkan pekerjaan sebuah kilang terkemuka di Prai malah turut diberi peluang untuk mengikuti beberapa program yang disediakan Kementerian Sumber Manusia.


Pada sidang medianya, Nazir menjelaskan hasil dari pertemuan tersebut beberapa jalan penyelesaian telah dicapai bagi membantu membela nasib pekerja-pekerja berkenaan.


"Antaranya pihak Kementerian telah bersetuju untuk mengadakan Karnival Pekerjaan pada 11 Julai ini bagi membantu pekerja-pekerja tersebut mendapatkan peluang pekerjaan segera.


"Bagi mereka yang sukar mendapatkan pekerjaan berikutan faktor usia, mereka akan didaftarkan menerusi melalui program ’Train & Place’ yang mana mereka akan diberi latihan mengikut bidang-bidang yang ditetapkan dan akan terus diserapkan sebagai pekerja di premis yang diperlukan mengikut skill bidang latihan yang diikuti.


"Dan pekerja tersebut juga akan mendapat elaun sebanyak RM 500 – RM 800 sebulan sepanjang tempoh menjalani latihan yang dibiayai oleh Kementerian Sumber Manusia", katanya.


Beliau seterusnya menjelaskan pada masa yang sama Syarikat Sony turut menyatakan kesediaan untuk mengambil semua bekas pekerja kilang Nikko untuk berkhidmat di kilang syarikat itu.


"Kita cukup terharu atas keprihatinan kementerian yang telah memanggil serta merta wakil Sony untuk datang mengadakan perbincangan bersama wakil pekerja berkenaan di kementerian tengah hari tadi.


"Hasil pertemuan pihak kilang Sony telah bersetuju pada dasarnya untuk menempatkan kesemua bekas pekerja-pekerja yang masih belum memperolehi pekerjaan untuk diserapkan di kilang berkenaan di Prai, Pulau Pinang", katanya.


Berkaitan tuntutan pampasan pekerja-pekerja tersebut yang telah difailkan di mahkamah, Nazir berkata kes tersebut dijangka akan disebut di Mahkamah Tinggi pada 3 Julai ini.


"Menurut sumber yang dipercayai, kita difahamkan bahawa akan ada perkembangan yang positif dari pihak kilang NIKKO Electronic Berhad dalam masa yang terdekat di mana ianya akan memberi manfaat kepada bekas pekerja-pekerja tersebut", ujarnya.


Sementara itu, wakil pekerja kilang Nikko yang diberhentikan, Mat Zahir Ismail mengucapkan terima kasih kepada Pemuda UMNO yang sudi menjadi jambatan dengan mengutarakan perkara itu ke pihak kementerian.


Menurut beliau setelah sekian lama menganggur dan berjuang untuk mendapatkan hak serta pembelaan yang sewajarnya, hari ini mereka merasakan masalah tersebut sampai ke penghujung.


"Semua pihak telah kami utarakan masalah ini termasuk kerajaan negeri, namun sekadar janji semata-mata. Lebih 500 kawan-kawan masih lagi menganggur dan selebihnya mungkin telah mendapat pekerjaan lain.


"Justeru saya menyeru kepada semua kawan-kawan agar mengambil kesmepatan ini dan janganlah terlalu memilih pekerjaan. Rebutlah peluang yang ditawarkan ini untuk menanggung keluarga kita", katanya.



Read more...

Sekretariat Pekerja Muda Bantu Bekas Pekerja Kilang Nikko

SIDANG AKHBAR

SEKRETARIAT PEKERJA MUDA, PEMUDA UMNO MALAYSIA

1 JULAI 2009

1. Merujuk Laporan Media berkenaan keluhan serta nasib lebih 1,000 orang pekerja kilang Nikko Electronics Berhad, Perai, Pulau Pinang yang telah diberhentikan perkhidmatan dengan notis 24 jam pada 30 Jun 2008 yang lepas.

2. Setelah setahun menunggu janji-janji Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyelesaikan kemelut yang melanda pekerja-pekerja tersebut akhirnya dengan penuh rasa kecewa sehingga 30 Jun 2009 iaitu semalam seramai lebih 200 orang bekas pekerja yang diberhentikan mewakili rakan-rakan mereka yang lain telah mengadakan demonstrasi menuntut janji kerajaan negeri Pulau Pinang agar nasib mereka terbela.

3. Berhubung perkara tersebut, Sekretariat Pekerja Muda, Pemuda UMNO Malaysia bekerjasama dengan Pemuda UMNO Pulau Pinang telah mengambil langkah proaktif bagi mencari jalan penyelesaian dan membantu untuk membela nasib seramai 800 orang pekerja yang masih belum mempunyai pekerjaan.

4. Pada pukul 10.30 pagi tadi bertempat di Aras 9, Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya, Sekretariat Pekerja Muda bersama Pemuda Pulau Pinang memulakan usaha untuk membantu pekerja-pekerja tersebut dengan mengadakan pertemuan meja bulat dengan YB Dato’ Maznah Mazlan, Timbalan Menteri Sumber Manusia bersama pegawai-pegawai tertinggi Kementerian.

5. Hasil dari pertemuan tersebut dan inisiatif serta komitmen dari YB Dato’ Maznah Mazlan, Timbalan Menteri Sumber Manusia beberapa jalan penyelesaian telah dicapai bagi membantu membela nasib pekerja-pekerja tersebut :

Antaranya :

i. Pihak Kementerian telah bersetuju untuk mengadakan Karnival Pekerjaan pada 11 Julai 2009 akan datang bagi membantu pekerja-pekerja tersebut mendapatkan peluang pekerjaan segera.

ii. Bagi pekerja-pekerja yang sukar mendapatkan pekerjaan berikutan faktor usia, pihak Kementerian telah mencadangkan agar pekerja tersebut didaftarkan untuk mendapat latihan serta pekerjaan melalui melalui program’Train & Place’ yang mana pekerja tersebut akan diberi latihan mengikut bidang-bidang yang ditetapkan dan akan terus diserapkan sebagai pekerja di premis yang diperlukan mengikut skill bidang latihan yang diikuti. Pekerja tersebut juga akan mendapat elaun sebanyak RM 500 – RM 800 sebulan sepanjang tempoh menjalani latihan yang dibiayai oleh Kementerian Sumber Manusia.

6. Apa yang lebih menarik hasil dari kesungguhan pihak kementerian untuk membantu pekerja-pekerja tersebut adalah pada pukul 2.00 petang bertempat di Aras 9, Kementerian Sumber Manusia pihak kementerian telah memanggil Pengurus sebuah kilang elektronik terkemuka untuk datang mengadakan perbincangan bersama wakil pekerja-pekerja NIKKO Elechtronik Berhad iaitu Sdr. Mat Zahir Ismail dan Mohd Sobri bersama dengan Dato’ Sheikh Yahya Sheikh Mohamad, Timbalan Ketua Pengarah Tenaga Kerja (1), pihak kilang tersebut telah bersetuju pada dasarnya untuk menempatkan kesemua bekas pekerja-pekerja yang masih belum memperolehi pekerjaan untuk diserapkan di kilang tersebut di Prai, Pulau Pinang.

Pihak kilang tersebut akan mengadakan satu temuduga khas bagi bekas pekerja-pekerja tersebut pada masa yang terdekat untuk memberi masa agar kesemua pekerja dimaklumkan berhubung temuduga khas ini.

7. Berkaitan tuntutan pampasan pekerja-pekerja tersebut yang telah difailkan di mahkamah, menurut sumber kes tersebut akan disebut di Mahkamah Tinggi pada 3 Julai 2009 ini. Menurut sumber juga, dimaklumkan bahawa akan ada perkembangan yang positif dari pihak kilang NIKKO Electronic Berhad dalam masa yang terdekat dimana ianya akan memberi manfaat kepada bekas pekerja-pekerja tersebut.

8. Hasil dari perkembangan ini, Sekretariat Pekerja Muda, Pemuda UMNO Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Dato’ Maznah Mazlan, Timbalan Menteri Sumber Manusia di atas komitmen dan kesungguhan beliau dalam membantu membela nasib bekas pekerja-pekerja kilang NIKKO Electronic Berhad.

9. Sekretariat Pekerja Muda berasa amat kesal dan kecewa dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang hanya pandai menabur janji tetapi sememangnya tidak mengambil sebarang usaha untuk membantu membela nasib pekerja-pekerja tersebut.

10. Sekretariat Pekerja Muda akan terus memainkan peranan dalam membantu dan membela nasib pekerja-pekerja terutamanya di sektor perkilangan di seluruh negara agar masalah seperti ini tidak berulang.

Sekian, terima kasih.

NAZIR HUSSIN AKHTAR HUSSIN

Pengerusi

Sekretariat Pekerja Muda, Pemuda UMNO Malaysia


Read more...

Pelawat

Kategori

 

© 2009 Sekretariat Pekerja Muda - Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Powered by Blogger.