Wednesday, July 1, 2009

Sekretariat Pekerja Muda Bantu Bekas Pekerja Kilang Nikko

SIDANG AKHBAR

SEKRETARIAT PEKERJA MUDA, PEMUDA UMNO MALAYSIA

1 JULAI 2009

1. Merujuk Laporan Media berkenaan keluhan serta nasib lebih 1,000 orang pekerja kilang Nikko Electronics Berhad, Perai, Pulau Pinang yang telah diberhentikan perkhidmatan dengan notis 24 jam pada 30 Jun 2008 yang lepas.

2. Setelah setahun menunggu janji-janji Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyelesaikan kemelut yang melanda pekerja-pekerja tersebut akhirnya dengan penuh rasa kecewa sehingga 30 Jun 2009 iaitu semalam seramai lebih 200 orang bekas pekerja yang diberhentikan mewakili rakan-rakan mereka yang lain telah mengadakan demonstrasi menuntut janji kerajaan negeri Pulau Pinang agar nasib mereka terbela.

3. Berhubung perkara tersebut, Sekretariat Pekerja Muda, Pemuda UMNO Malaysia bekerjasama dengan Pemuda UMNO Pulau Pinang telah mengambil langkah proaktif bagi mencari jalan penyelesaian dan membantu untuk membela nasib seramai 800 orang pekerja yang masih belum mempunyai pekerjaan.

4. Pada pukul 10.30 pagi tadi bertempat di Aras 9, Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya, Sekretariat Pekerja Muda bersama Pemuda Pulau Pinang memulakan usaha untuk membantu pekerja-pekerja tersebut dengan mengadakan pertemuan meja bulat dengan YB Dato’ Maznah Mazlan, Timbalan Menteri Sumber Manusia bersama pegawai-pegawai tertinggi Kementerian.

5. Hasil dari pertemuan tersebut dan inisiatif serta komitmen dari YB Dato’ Maznah Mazlan, Timbalan Menteri Sumber Manusia beberapa jalan penyelesaian telah dicapai bagi membantu membela nasib pekerja-pekerja tersebut :

Antaranya :

i. Pihak Kementerian telah bersetuju untuk mengadakan Karnival Pekerjaan pada 11 Julai 2009 akan datang bagi membantu pekerja-pekerja tersebut mendapatkan peluang pekerjaan segera.

ii. Bagi pekerja-pekerja yang sukar mendapatkan pekerjaan berikutan faktor usia, pihak Kementerian telah mencadangkan agar pekerja tersebut didaftarkan untuk mendapat latihan serta pekerjaan melalui melalui program’Train & Place’ yang mana pekerja tersebut akan diberi latihan mengikut bidang-bidang yang ditetapkan dan akan terus diserapkan sebagai pekerja di premis yang diperlukan mengikut skill bidang latihan yang diikuti. Pekerja tersebut juga akan mendapat elaun sebanyak RM 500 – RM 800 sebulan sepanjang tempoh menjalani latihan yang dibiayai oleh Kementerian Sumber Manusia.

6. Apa yang lebih menarik hasil dari kesungguhan pihak kementerian untuk membantu pekerja-pekerja tersebut adalah pada pukul 2.00 petang bertempat di Aras 9, Kementerian Sumber Manusia pihak kementerian telah memanggil Pengurus sebuah kilang elektronik terkemuka untuk datang mengadakan perbincangan bersama wakil pekerja-pekerja NIKKO Elechtronik Berhad iaitu Sdr. Mat Zahir Ismail dan Mohd Sobri bersama dengan Dato’ Sheikh Yahya Sheikh Mohamad, Timbalan Ketua Pengarah Tenaga Kerja (1), pihak kilang tersebut telah bersetuju pada dasarnya untuk menempatkan kesemua bekas pekerja-pekerja yang masih belum memperolehi pekerjaan untuk diserapkan di kilang tersebut di Prai, Pulau Pinang.

Pihak kilang tersebut akan mengadakan satu temuduga khas bagi bekas pekerja-pekerja tersebut pada masa yang terdekat untuk memberi masa agar kesemua pekerja dimaklumkan berhubung temuduga khas ini.

7. Berkaitan tuntutan pampasan pekerja-pekerja tersebut yang telah difailkan di mahkamah, menurut sumber kes tersebut akan disebut di Mahkamah Tinggi pada 3 Julai 2009 ini. Menurut sumber juga, dimaklumkan bahawa akan ada perkembangan yang positif dari pihak kilang NIKKO Electronic Berhad dalam masa yang terdekat dimana ianya akan memberi manfaat kepada bekas pekerja-pekerja tersebut.

8. Hasil dari perkembangan ini, Sekretariat Pekerja Muda, Pemuda UMNO Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Dato’ Maznah Mazlan, Timbalan Menteri Sumber Manusia di atas komitmen dan kesungguhan beliau dalam membantu membela nasib bekas pekerja-pekerja kilang NIKKO Electronic Berhad.

9. Sekretariat Pekerja Muda berasa amat kesal dan kecewa dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang hanya pandai menabur janji tetapi sememangnya tidak mengambil sebarang usaha untuk membantu membela nasib pekerja-pekerja tersebut.

10. Sekretariat Pekerja Muda akan terus memainkan peranan dalam membantu dan membela nasib pekerja-pekerja terutamanya di sektor perkilangan di seluruh negara agar masalah seperti ini tidak berulang.

Sekian, terima kasih.

NAZIR HUSSIN AKHTAR HUSSIN

Pengerusi

Sekretariat Pekerja Muda, Pemuda UMNO Malaysia

Komentar :

ada 0 comments ke “Sekretariat Pekerja Muda Bantu Bekas Pekerja Kilang Nikko”

Pelawat

Kategori

 

© 2009 Sekretariat Pekerja Muda - Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Powered by Blogger.